Selamat datang ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Perkara pertama yang anda harus sedar ialah pengajian di sini tidak sama dengan belajar di bangku sekolah dahulu. Ramai pelajar yang cemerlang di bangku sekolah dahulu kemudiannyamendapat keputusan yang mengecewakan di IPT. Begitu sebaliknya, ramai pelajar yang sekadar cukup makan keputusannya untuk masuk IPT, tetapi berubah dan menamatkan pengajian dengan cemerlang di IPT. Sebagai permulaan, anda harus tahu akan cabaran dan realiti belajar di IPT :
· Sistem semester yang diamalkan bermaksud anda akan dinilaikan sepanjang pangajian, dan bukannya pada bulan terakhir di tahun terakhir pengajian. Penilain prestasi akademik pula ialah gabungan keputusan ujian dan peperiksaan, kerja kursus, praktikal dan penglibatan di dalam kelas atau makmal sepanjang tahun.
· Pensyarah yang mengajar anda jugalah yang akan menilai prestasi anda. Oleh itu anda harus bijak memanfaatkan kepakaran yang ada pada mereka.
· Kehidupan yang lebih bebas di IPT memerlukan anda mampu mengurus dan mendisiplinkan diri. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan anda hanyut dan leka sehingga mengakibatkan banyak kesan negatif pada akademik dan diri anda.
Oleh itu, adalah penting anda memulakan pengajian di IPT dengan melakukan perkara berikut :
BERTANGGUNGJAWAB PADA DIRI SENDIRI
Sedar bahawa berjaya atau gagal anda di IPT bergantung kepada tindak-tanduk diri anda. Sama ada anda masuk ke IPT hasil dari keputusan yang cemerlang, atau dipaksa membuat kursus yang bukan pilihan pertama, kini anda harus berhenti menyalahkan orang lain dan mula berfikiran secara positif terhadap pengajian baru anda.
LETAK MATLAMAT YANG TINGGI DARI AWAL LAGI
Ramai pelajar malas belajar bukan kerana mereka pemalas pada asalnya, tetapi kerana mereka sudah berputus asa dan tidak jelas halatuju yang perlu dibawa oleh diri. Oleh itu, cabar diri anda. Letak matlamat untuk mendapat keputusan antara nilai 3.5 hingga 4.0 dalam peperiksaan setiap semester agar anda akan lebih bersemangat untuk belajar, walau sesukar mana sekalipun.
BUAT PERSEDIAAN AWAL SEBELUM BELAJAR
Banyak kandungan yang anda akan belajar merupakan perkara baru yang kompleks. Jadi untuk memudahkan anda faham pengajaran oleh pensyarah dan mendahului pelajar lain, buatlah persediaan awal sebelum belajar topik berkenaan di dalam dewan kuliah atau makmal. Sekurang-kurangnya, baca dahulu sekali imbas kandungan yang bakal anda belajar dalam kelas pada esok harinya.
HADIR DAN FOKUS 100% SEMASA BELAJAR DI DALAM KULIAH ATAU MAKMAL
Sama ada kehadiran diwajibkan atau tidak, dan sama ada penyarah anda mengambil nama kehadiran atau tidak, anda harus berasa senang untuk menghadiri kelas. Ya, mesti rasa rugi besar sekiranya terlepas kelas. Dan yang paling penting, alang-alang sudah berada di dalam kelas, berikan tumpuan sepenuhnya kerana bukan mudah untuk meminta pensyarah mengulangi apa yang telah diajarkan oleh beliau.
MULAKAN TUGASAN DAN PROJEK SEAWAL YANG MUNGKIN
Ramai pelajar tertipu dengan tempoh ‘lama’ yang diberikan oleh pensyarah untuk menyiapkan tugasan. Mereka leka dan hanya gelabah di saat-saat akhir. Kesannya tugasan tidak disiapkan dengan sempurna dan mencacatkan keputusan yang menyedihkan pada penghujung semester. Oleh itu ingat, bermula dari awal banyak faedahnya.
ULANGKAJI SECARA BERTERUSAN UNTUK PEPERIKSAAN AKHIR
Anda tidak perlu menjadi ulat buku, tetapi mestilah membuat ulangkaji secara berterusan sebagai persediaan terbaik untuk peperiksaan. Ramai pelajar menunggu hingga ke minggu atau hari terakhir baru hendak memulakan ulangkaji. Disebabkan itu, ramai yang mendapat tekanan emosi yang tinggi dan berkelakuan aneh hingga menjejaskan bukan sahaja peperiksaannya, tetapi mengganggu rakan-rakan lain.
Kesimpulannya, jangan mudah berpuas hati dengan kedudukan anda sekarang. Ingat, pengalaman dan prestasi anda di IPT akan menjadi bekalan untuk membina kerjaya yang cemerlang di masa hadapan kelak. Oleh itu, rebutlah segala peluang yang tersedia dan terus berusaha, berusaha dan berusaha tanpa berputus asa. Berdoa kepada Tuhan untuk memohon keberkatanNya. Oh ya! jangan lupa juga untuk aktif dalam pelbagai aktiviti pelajar yang disediakan. Selamat maju jaya
and please have fun along the way!
Disediakan oleh MOHAMMAD FITRI MOHD SHUKRI, Fasilitator di Learning Leadership, Kota Damansara, Selangor